,

TITAH SULTAN KEDAH

WAJIB POTONGAN GAJI UNTUK ZAKAT PENDAPATAN TERHADAP INDIVIDU BERPENDAPATAN MELEBIHI NISAB DITETAPKAN

Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah supaya semua ketua jabatan di agensi kerajaan dan swasta dalam negeri ini, melaksanakan arahan wajib potongan gaji bagi zakat pendapatan.
Baginda bertitah, perkara itu mestilah dilaksanakan mengikut taksiran yang betul bagi kakitangan awam dan swasta, yang mempunyai pendapatan melebihi nisab ditetapkan. “Beta turut menitahkan kepada setiap individu yang bekerja di Kedah serta agensi dan syarikat korporat yang beroperasi di negeri ini, untuk membayar zakat kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK). “Selaku Ulil Amri di Kedah, Beta berhasrat dan ingin memastikan agar para asnaf di negeri ini yang layak menerima zakat, mendapat hak mereka sewajarnya,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika Merasmikan Pusat Bekalan Makanan (Food Bank) Fakir Miskin dan Pelancaran Sambutan Sambutan 350 tahun Seruan Berzakat di Kedah bertempat di Pusat Konvensyen dan Hotel TH dekat sini, hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin bersama Menteri Besar, Dato Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim serta Mufti, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang.
Sementara itu Sultan Sallehuddin menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan LZNK mengagihkan kutipan zakat berjumlah RM194.9 juta pada tahun lalu.
Selain itu baginda bertitah, pelaksanaan program ‘Food Bank’ di semua masjid dalam negeri ini dilihat telah mengangkat martabat institusi masjid di Kedah. “Pelaksanaan program ini memberi manfaat kepada 17,280 keluarga pada setiap bulan. Beta yakin, tindakan proaktif ini dapat mengatasi isu rakyat berkaitan kelaparan dan terputus bekalan makanan, selain menaikkan imej institusi masjid serta zakat di mata masyarakat,” titah baginda.

#RA #SI

#WartaKedah #UnitMediaKedah #KerajaanNegeriKedah #FoodBankKedah #350tahunseruanzakat #ZakatKedah
#mudimzakariafoodindustries

Facebook
Twitter
Email
Print
Latest Post